21 Januari 2018 - 14:40
Enam Maut Serangan Hotel Di Kabul

Sekurang-kurangnya enam orang maut termasuk seorang warga asing dalam satu serangan ke atas Hotel Intercontinental di Kabul.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sekurang-kurangnya enam orang maut termasuk seorang warga asing dalam satu serangan ke atas Hotel Intercontinental di Kabul.

Pihak berkuasa Afghanistan turut menembak mati empat lelaki, dipercayai penyerang dalam insiden berbalas tembakan yang berlanjutan selama 12 jam.

"Serangan telah berakhir," kata jurucakap Menteri Dalam Negeri, Najib Danish.

Sumber keselamatan berkata, pasukan keselamatan Afghanistan sedang cuba mengosongkan hotel di puncak bukit itu apabila seorang penyerang berjaya melarikan diri.

Dalam insiden malam kelmarin, empat lelaki bersenjata meletupkan hotel sebelum melepaskan tembakan ke arah tetamu dan kakitangan dan menjadikan berpuluh orang sebagai tebusan termasuk warga asing.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu. - AFP.